Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu izinkan saya memanjat rasa kesyukuran ke hadarat Allah S.W.T dan merakamkan penghargaan kepada Urusetia Penerbitan Kesatuan Penolong Pegawai Veterinar Semenanjung Malaysia di atas kejayaan menubuhkan Laman Web ini. Keperluan Saloran Maklumat bagi ahli mendapat berita terkini dan semasa amat dirasakan kerana kedudukan ahli-ahli yang berada jauh di beberapa negeri di seluruh negara.

Cadangan untuk mewujudkan Laman Web ini sememangnya telah lama dirancang. Walau bagaimanapun apabila perkara ini dibangkitkan lagi dalam Mesyuarat Bil. 2., Majlis Jawatankuasa Kerja yang lalu, ketetapan telah diambil supaya Laman Web ditubuhkan dengan kadar yang segera. Sehububngan dengan itu juga Jawatankuasa Kecil yang dinamakan sebagai Urusetia Penerbitan yang diketuai oleh Sdr. Setiausaha dan dibantu oleh Sdr. Penolong Setiausaha telah ditubuhkan. Penubuhan Laman Web ini bukan sahaja membolehkan Pihak Kesatuan menyalurkan maklumat terkini tentang aktiviti yang telah dan akan dijalankan tetapi apa yang lebih penting ia menggambarkan sikap ketelusan dan keterbukaan pentadbiran kesatuan.

Saya percaya Laman Web ini selain daripada menjadi alat penyebaran maklumat akan juga menjadi saloran komunikasi yang penting kepada semua ahli-ahli kesatuan. Harapan saya seterusnya agar ahli-ahli dapat memberi sumbangan buah fikiran supaya Laman Web ini akan dapat ditingkatkan dari masa ke semasa.

Akhirnya dengan tertubuhnya Laman Web ini, Kesatuan ini telah menyahut seruan pimpinan negara untuk menfaatkan Teknologi Maklumat (IT) dan juga telah merintis permulaan budaya e-kesatuan di kalangan kita.

Salam hormat.

Hj Abd. Shukor Bin Yatiman
Yang Dipertua
Kesatuan Penolong Pegawai Veterinar
Semenanjung Malaysia